Friday, October 23, 2015

KERJA UNTUK APA?


KERJA UNTUK APA?
Makan gaji itu memeritkan, tidak dihargai itu lebih menyakitkan.

Ramadan lalu video seorang gadis bernama Zahra berjudul #sayaZAHRA #sayasayangkanMALAYSIA menjadi viral. Bagi sesetengah orang apa yang diluahkan Zahra hanyalah perasaan kurang puas hatinya terhadap realiti hidup hari ini. Bermacam-macam tuduhan menemplak individu ini yang hanya menyuarakan pendapatnya. Namun setelah menonton sendiri video ini saya kira Zahra seorang anak muda yang cukup berani – dia menyuarakan apa yang dia rasa di platform yang betul bukan di laman media sosial dengan kata-kata tidak berasas. Zahra di hadapan Timbalan Perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan yakin, percaya dan berani bersuara dalam satu sidang Laporan Sosio-ekonomi Melayu: Menuju Negara Berpendapatan Tinggi yang berlangsung Julai lalu.

Isunya tentang survival – kelangsungan meneruskan kehidupan dalam dunia yang cukup kompetitif dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Namun pilihan apa yang kita punya? Selain terus bekerja dan melakukan kerja-kerja sampingan di luar. Bak kata Zahra dalam ucapannya “Saya sentiasa mencari peluang menambah pendapatan namun ia bukan mudah jika kita terikat dengan pekerjaan tetap.” Hidup ini semakin hari semakin memenatkan hanya untuk memastikan kelangsungan hidup diteruskan. Bekerja siang dan malam malah di hari minggu demi satu kehidupan yang selesa.

Cerita Zahra ini sepatutnya menjadi diberi perhatian banyak pihak bertanggungjawab bukan sindiran.  Saya pelik bila pernyataan Zahra disalah ertikan oleh sesetengah individu yang tidak faham erti ‘perumpamaan’ atau ‘perlambangan’. Benar, sesetangah ayat dalam ucapannya berbunyi melebih-lebih tetapi itu hanyalah perumpamaan melambangkan perasaannya hidup sebagai anak muda di kota metropolitan ini. Realiti hidup makin memeritkan dengan gaji yang hanya sekadar cukup untuk membayar kereta, bil telefon, sewa rumah, bil selenggara, insurans dan wang buat kedua ibu bapa. Selebihnya hanya cukup untuk makan dan membeli barang penjagaan diri setiap bulan. Jika mahu shopping, punca pendapatan yang lain harus dicari.

DILEMA PEKERJA
Ridhwan Saidi dalam jurnal tulisannya Brazil menulis “Rasa gembira dan heroik pada awalnya telah bertukar kepada sedih dan malang, seperti kita telah bersekutu dengan penjenayah, dengan penculik.” Dia bercerita tentang kekecewaan. Satu metafora tentang kehidupan seharian kita penuh dengan warna dan corak yang menghibakan – seperti dipergunakan dan tiada lagi penghargaan. Saya bercakap tentang kerja, berapa ramai antara kita yang benar-benar gembira dengan idea 9 pagi 6 petang dalam mencari rezeki meneruskan kelangsungan hidup? Jika punya pilihan lain adakah kita akan setia bekerja dengan satu majikan dan berbaloikah kita untuk setia?

Dalam satu laporan Forbes Online, artikel bertajuk Employees Who Stay In Companies Longer Than Two Years get Paid 50% Less menyatakan dilema yang dilalui kebanyakan pekerja yang kekal di satu-satu syarikat lebih daripada dua tahun. Dalam artikel tulisan Cameron Kong ini mendapati persoalan mengapa majikan sanggup membayar individu luar dengan gaji yang lebih tetapi berkira dengan pekerja mereka yang setia dan penuh dedikasi.

Kong mempersoalkan tentang budaya kerja – jika anda mahukan gaji lebih besar anda harus bertukar ke tempat kerja berbeza yang mampu menawarkan apa yang anda mahu kerana jika anda setia sampai bila pun gaji anda tidak akan akan mendapat gaji yang anda idamkan. Mengapa hal ini terjadi dan sampai bila ia harus berlarutan? Kong menambah majikan akan mengelak daripada mengambil mereka yang kerap bertukar kerja kerana gusar mereka tidak akan setia berkhidmat namun adakah anda memberi keadilan buat pekerja anda yang setia? Hal-hal beginilah membuatkan ramai pekerja melompat kerja dari satu institusi ke institusi berbeza kerana kurangnya penghargaan daripada majikan. Jadi wahai majikan, why take things for granted ?  Mengapa tidak dihargai pekerja yang selama ini berkhidmat membantu syarikat anda berjaya dan mendapat nama, staus dan keuntungan?

Artikel tulisan di laman web TalentCulture berjudul 5 Reason Why Your Employee Leave – menulis tentang beberapa kesilapan yang sering dilakukan oleh majikan tetapi dipandang sebelah mata. Antara isi artikel ini adalah pangkat dan kenaikan gaji. Laman web ini mempersoalkan mengapa peluang lebih baik datang dari insitusi luar tetapi bukan institusi yang anda bekerja hari ini? Dan mengapa majikan semudahnya mengambil individu luar yang kurang arif tentang cara kerja juga kurang pengalaman dengan menawarkan gaji yang lebih besar. Bagaimana pula nasib mereka yang ada di dalam institusi ini? Adakah mereka harus mencari peluang lain di luar demi membuktikan bahawa mereka layak menerima apa yang ditawarkan majikan terhadap orang luar?

Dalam satu survey yang dilakukan CareerBuilder.Com terhadap hampir tiga ribu pekerja pada tahun lalu menemukan beberapa alasan utama mengapa mereka memilih untuk berpindah tempat kerja. Satu konklusi dapat dibuat daripada survey ini yang nyata menunjukkan mereka berhenti bukanlah hanya kerana gaji atau pangkat semata-mata.

45%
Menyatakan mereka tidak berpuas hati dengan kenaikan gaji dan peluang baru yang semakin kabur.

39%
Tidak menemukan keseimbangan dalam hidup dek kerana terlalu terikat dengan tugasan.

37%
Pendapat dan idea mereka tidak lagi dihiraukan dan bos terus menerus meminta hal yang semakin tidak masuk akal.

36%
Menyatakan mereka kecewa kerana tidak dipandang serius oleh majikan dan seperti tidak mempunyai kepentingan buat syarikat.  

Pekerja berhenti datang silih berganti itu mungkin perihal biasa tetapi jika pekerja itu sudah terlalu lama menabur bakti dan dedikasi kerja tanpan komplen memutuskan untuk pergi pasti ada yang tak kena. Persoalan ini membawa saya kepada artikel majalah bisnes Fast Company yang berjudul How You Can Get Your Best Employee To Stay? Tulisan Stephannie Vozza. Dan dalam artikel ini Vozza menyenaraikan beberapa perkara yang membuatkan pekerja semakin hilang minat bekerja:

1.       TIADA PENGALAMAN BARU
Sebagai majikan anda perlu peka dengan kebolehan pekerja dan membuka peluang baru yang sama adil. Bila seseorang itu diberi peluang baru yang berbaloi usaha mereka secara tidak langsung mereka akan setia dan sentiasa melakukan kerja dengan sepenuh hati.

2.       KEBAJIKAN
Peka dengan tanggungjawab anda sebagai majikan terhadap pekerja. Majikan harus lebih terbuka untuk mendengar pendapat semua, tidak hanya orang atasan semata. Jangan memandang ringan isu ini kerana jika anda kurang peka tiada siapa lagi yang jujur mahu bekerja.

3.       TIDAK BERBALOI
Dalam melaksanakan setiap tugasan yang diberi harus dibayar dengan harga dan keringat yang setimpal. Bila enough is never enough, maka yang terjadi adalah rasa beban yang memenatkan harus ditanggung pekerja. Sebagai majikan usah meminta yang melebih-lebih jika anda tidak mampu memberi apa yang sepatutnya pekerja anda dapat.

MESEJ BUAT MAJIKAN
Apa yang terjadi dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines System Bhd (MAS) beberapa bulan lalu merupakan satu hal cukup mengejutkan. Bayangkan 6000 pekerja harus dibuang status pekerjaan mereka hanya kerana tragedi luar duga. Persoalan saya, adakah kita selamat untuk setia? Tiada jaminan untuk hal tersebut. Majikan punya hak untuk memutuskan mengambil anda bekerja di tempat mereka dan mereka juga punya hak untuk mengetepikan anda jika anda tidak lagi menyumbang buat syarikat.

Namun itu bukanlah alasan untuk majikan mengetepikan hak asasi seorang pekerja. Ingat tanpa pekerja yang bersungguh-sungguh meletakkan standard kualiti kerja yang bagus pada setiap tugasan sesebuah syarikat tidak akan berjaya mengukuhkan statusnya. Asas harus kuat dalam membangunkan sesebuah institusi kerana tanpa asas yang kuat maka goyanglah institusi yang telah dibina. Akhiran ini saya banyak menghabiskan masa di aplikasi LinkedIn – satu saluran media sosial yang memberi fokus terhadap kerjaya individu. Di sini saya menemukan beberapa posting tentang kerjaya yang harus dijadikan bahan fikir.

Dalam satu posting yang dikongsi di aplikasi ini membawa saya kepada satu artikel bagaimana anda sebagai majikan harus menghargai pekerja yang setia, jujur dan tidak pernah mengalah untuk memberi yang terbaik buat anda. Posting berbentuk info grafik yang bertajuk Employees Stay When They Are… itu menyatakan sepuluh alasan utama untuk seseorang pekerja yang berpotensi besar itu setia bersama satu institusi. Bahan fikir serta mesej penting buat semua majikan.

1.       Bayaran setimpal
2.       Dilatih
3.       Diberi cabaran baru dalam kerja
4.       Dinaikkan pangkat
5.       Pendapat didengar dan dianalisa
6.       Dedikasi kerja dihargai
7.       Keberadaan mereka dirasai
8.       Seiring dalam mencapai visi
9.       Diberi kepercayaan untuk melaksanakan setiap tugasan
10.   Yakin dengan kebolehan yang pekerja anda ada

Wednesday, August 19, 2015

Fynn Jamal - Suatu Pernah

Aku tak pernah suka Fynn Jamal, itu fakta - tetapi aku tidak pernah menidakkan dia penulis yang baik. Dan Suatu Pernah cukup deep dan buat aku tersentuh.

 

 

suatu pernah

verse 1
habis sudah madah;
tak ada satu pun yang tertinggal,
setiapnya telah—
kau ambil dan terus kau jual.

seolah tak pernah memakna apa,
seolah tak pernah kau inginkannya,
seolah—
tak pernah...

verse 2
dikutipku bila sudi,
di bila tidak, dibiar mati,
dan lebih menyakitkan—
ku tetap tunggu di tepi jalan.

seperti tak pernah ku ada harga,
seperti tak pernah kita bersama,
seperti tak pernah kau mahu aku,
--tak pernah rindu
--tak pernah rayu
--dulu.

chorus
terleburhancur kebal rusukku;
berkecaisepai, terpecahbelah,
terima kasih atas ajarmu—
--cinta tak wujud
--ah, tak pernah.

dan dengarkan jeritku;
jujur tak terfitnah,
kau hanya bagiku—
suatu yang pernah.

verse 3
takkan ada apa—
yang mampu untuk buat kau pulang,
bila sudah tiada rasa—
bikinlah apa, tetap kau terbang.

takkanku pujuk kau jangan pergi,
takkan ku minta kau fikir lagi,
takkan ku paksa renung semula,
takkan ku suruh apa2.

takkan ku izin tubuh dibuka,
takkan ku pamer reput di dada,
takkan ku rebah,
takkan ku goyah,
takkan ku biar tubuh didarah.

(repeat chorus)


bridge
pernah—
suatu yang pernah
suatu yang pernah

suatu—
pernah.

Wednesday, July 8, 2015

BETARI SENI - DAYANG NURFAIZAH, ELLA, MISHA OMAR & LIZA HANIM



Nilainya permata-permata yang diganding ini tingginya tidak terperi. Asli, tersendiri dan tidak teruji dek bakat baru yang datang dan pergi silih berganti. Kami masih mahu mereka terus menyanyi, kami tidak mahu melihat mereka berhenti. Empat Betari Seni ciptaan asli yang manakan mungkin ditukar ganti.


~~~



D A Y A N G . N U R F A I Z A H 
Dayang meraikan lima belas tahun perjalanan karier sebagai penghibur dengan cukup gemilang. Dua konsert, dua trofi Anugerah Juara Lagu, persembahan memukau di Anugerah Industri Muzik dan dominasi pentas Mentor Legend sebagai juara menjadi bukti brnding Dayang Nurfaizah kini berada di liga berbeza. Semua itu satu kelegaan buatnya apabila dia dapat membuktikan sesuatu yang cukup bermakna pada dirinya ketika awal memutuskan untuk bergerak serius sebagai penyanyi lima belas tahun lalu.

Soal saya padanya jika kita putar kembali masa lima belas tahun ke belakang adakah apa yang Dayang capai hari ini apa yang Dayang bayangkan? “Tidak langsung. Dayang hanya tahu Dayang nak jadi penyanyi dan berjanji pada diri untuk tidak hanya hadir dengan satu album dan senyap. Dayang nak kekal relevan dan tidak putus dengan naskah baru. Nak kata dapat buat konsert atau dapat penganugerahan jauh sekali. Ada angan-angan tapi sekadar angan sahaja bukanlah begitu mengharap. Jadi apabila semua peluang ini datang pada satu masa Dayang sangat-sangat gembira dan teruja.”

Bukan wajah asing dalam merangkul trofi anugerah muzik tempatan, kemampuan dia di pentas nyata sesuatu yang cukup hebat. Siapa saja mampu mengalihkan pandangan biar sekejap daripada melihat kuasa luar biasanya di pentas. Magis ini saya kira tidak dimiliki ramai penghibur lain yang mungkin punya suara yang bagus tetapi tidak stage presence yang sebaik ini.

What is your favorite journey? tanya saya lagi “Banyak sebenarnya tapi kemenangan Vokal Terbaik di majlis Anugerah Juara Lagu yang lalu antara yang paling bermakna buat Dayang. Sebagai penyanyi bila vokal anda diiktiraf itu merupakan sesuatu yang sangat besar tambahan pula AJL adalah medan persembahan secara langsung. Standard-nya berbeza dengan rakaman studio. Jadi itu antara momen penting dalam kembara seni Dayang.”

Bercerita lanjut tentang rangka kerjayanya selepas Di Pintu Syurga, Dayang mengakui sukar baginya untuk mendapatkan lagu yang betul-betul kuat dan bagus. “Dalam mencari material baru Dayang mencari keseimbangan antara apa yang Dayang suka dan apa yang peminat mahu. Alhamdulillah Dayang telah temui formula dalam mencari keseimbangan tersebut dan Di Pintu Syurga menjadi bukti.” Ada elemen baru dalam muzik Dayang yang kita boleh harapkan akan datang? “Album Kasih dan Sayang & Cahaya merupakan fasa eksperimen dalam perjalanan muzik Dayang. Sudah puas rasanya berkeksperimen jadi Dayang akan kembali ke asas muzik yang penggemar mahukan tetapi tidak sesekali berkompromi melepaskan cara persembahan Dayang.”

Tambahnya lagi kedua-dua album itu antara risiko yang diambil sebagai pembelajaran. “Kalau Dayang tak cuba dan buat Dayang tak belajar banyak benda. Dengan menghasilkan album-album beginilah Dayang menemukan formula dalam menyeimbangkan apa yang pasaran mahu dan apa yang Dayang mahu. Hal ini sangat penting sebab yang nak menyanyinya Dayang dan yang mahu mendengar peminat. Jadi Dayang sangat gembira pada tahap ini Dayang sudah makin jelas dalam mencari keseimbangan tersebut.”

Dayang saya kira penghibur yang punya graf kerjaya yang cukup sustain. Daripada era Hakikat Cinta dia terus memikat pendengar dengan hit timeless Seandainya Masih Ada Cinta sebelum fasa tempo upbeat Dayang Sayang Kamu dan Ingin Kumiliki memikat pendengar. Tahun lalu dia kembali ke asas balada Di Pintu Syurga yang sekali lagi menjadikan dia sebagai penyanyi yang sentiasa dinanti kehadirannya. Langkah disusun mengena pada masa dan kehendak pasaran. Semakin lama dia di persada ini semakin tinggi darjat seni seiring kesungguhan yang diberi.

DISKOGRAFI

Dayang Nurfaizah (1999)
Seandainya Masih Ada Cinta (2001)
Hembusan Asmara (2002)
Dayang Sayang Kamu (2004)
Kasih (2005)
20 07 (2007)
Sayang & Cahaya (2011)


E L L A

Dua puluh lapan tahun diharungi tanpa lelah dan penuh minat. Berbual dengan Ratu Rock ini memberi bayangan cukup jelas bidang muzik yang dipilih adalah jiwa dan kehidupannya. Album Pengemis Cinta yang diterbitkan Ramli Sarip pada 1989 menjadi titik tolak pembabitan Ella dalam bidang muzik dan dengan pantas dia mencuri tumpuan dengan hit-hit hebat seperti Permata Biru, Sembilu, Layar Impian, P.P.P, Retak, Simbiosis dan Oh! terlalu banyak kiranya jika saya mahu tulis di sini. Hal ini menjadi bukti bahawa pengaruhnya cukup luar biasa kerana jika anda bukan peminat tegarnya sekalipun setidaknya bila disebut namanya pasti akan ada satu trak all time favorite yang akan kita hafal.

Soalan pertama saya padanya, apakah album kegemarannya sepanjang merakamkan album dia pantas menjawab EL (1998) sebelum menyebut Ella U.S.A (1994) dan 30110 (1992). “Album EL begitu personal dan Ella puas dengan kualiti rakamannya. Pada waktu itu teknologi rakaman muzik tidak secanggih sekarang dan untuk mendapatkan hasil yang sebegitu bagus menuntut kreativiti yang cukup tinggi juga kesabaran untuk menyiapkannya.” Tambah Ella lagi peluang bekerjasama dengan pemuzik undangan Slash dari Gun N’ Roses, Richard Marx serta Jascha Richter (Michael Learns to Rock) antara yang paling dia tidak akan lupakan.

Apa yang Ella mahu tawarkan pada peminat tahun ini? “A brand new album. Ella sangat teruja untuk berkongsi lagu-lagu terbaru ini dengan peminat. Kali terakhir Ella muncul dengan album penuh pada 2007 menerusi album Rama-Rama dan apa yang boleh Ella katakan album terbaru ini merupakan satu persembahan muzik yang cukup segar dan terkini.”  Dan saat ditanya apa yang dimaksudkan dengan sesuatu yang segar Ella berkata dia kali ini berkerja dengan bakat muda seperti Sam Bunkface dan Omar K bagi memberi suntikan terkini selain masih menggunakan khidmat penerbit senior seperti M.Nasir dan Edrie Hashim.

Menjadi living legend sepertinya pasti akan punya permintaan tinggi baik daripada peminat sehingga orang sekeliling. Bagaimana Ella mencari kepuasan dalam berkarya soal saya padanya “Menjadi penyanyi buat Ella belajar untuk melepaskan. Sesetengah perkara we should let go and be positive. Ya memang Ella ada banyak perkara yang nak dicapai tapi Ella tak boleh nak kawal semuanya. Ella hanya perlu fokus pada apa yang patut dan selebihnya percaya pada tenaga pakar yang bekerja dengan Ella. You cannot be selfish all the time.”
                                                                                                                                                              
Tambah Ella lagi setiap kali dia harus berkerja untuk sebuah album baru dia akan sentiasa punya rujukan yang dijadikan sebagai panduan dan meletakkan syarat utama kepada produser untuk menghasilkan sesuatu yang punya keaslian dalam penciptaan. “Rujukan penting bagi Ella supaya apa yang ingin dicapai itu jelas dan menjadi. Ella tak mahu menghasilkan sesuatu bercampur aduk tanpa punya arah yang jelas.” Dan jujur saya setuju dengan apa dikatakan. Sepanjang berbual dengannya dia tidak putus menyebut perkataan minat dan jujur. Katanya tanpa minat yang mendalam dia takkan bertahan sampai hari ini dan tanpa kejujuran orang tidak akan dapat rasa apa yang cuba dia sampaikan.

Jika dilihat cara dia mengadaptasi lagu-lagunya agar relevan dengan trend semasa sentiasa menjadi. Saya beri contoh ketika dia era kugiran indie mendominasi pasaran dia muncul dengan trak Pop Alternatif seperti Nan Berbeza, Teruja dan Simbosis kemudian melodi kugiran Pop Indo menguasai carta radio seperti Radja dia tampil dengan ilham Retak dan Rama-Rama. Malah dia juga pernah merakam trak Melayu asli Jauh Di Mata. Namun semuanya dicipta cukup tersendiri agar ramuan ‘Ella’ dalam setiap lagu yang diterbitkan tidak terlalu dibayangi trend semasa. Dan saya kira itulah alasan mengapa dia masih lagi kekal relevan sehingga hari ini selain kalimat jujur dan minat yang menjadi bahan fikir saya petang itu.

DISKOGRAFI

Pengemis Cinta (1989)
Puteri Kota (1990)
Identiti (1990)
30110 (1992)
Kesal (1992)
U.S.A (1994)
Demi (1996)
EL (1998)
Ilham Bicara (2001)
Simbiosis (
Rama-Rama (2007)


M I S H A . O M A R

Merdu suaranya siapa saja mampu mempertikai. Saat awal hit Bunga-Bunga Cinta di corong radio saya kira suara ini cukup istimewa. Selepas Liza Hanim, Misha antara yang paling merdu. Selepas itu mungkin ada beberapa lagi tetapi sekadar datang dan pergi. Kembali ke tahun 2001 yang mana menjadi pemula cerita gemilangnya sebagai penyanyi, Misha berkata dia tidak pernah pun terlintas untuk bernyanyi sepenuh masa. Bintang RTM yang disertainya itu hanya sekadar suka-suka mengisi minat dan kehendak salah seorang ahli keluarganya yang melihat bakat yang dia ada mampu membawanya lebih jauh lagi.

“Saya memasuki Bintang RTM pada tahun 2001 dan berjaya ke final bersama-sama Azharina dan Asmidar yang ketika itu mendapat gelaran juara dan naib juara. Awalnya saya kira di situlah nokhtahnya namun kurang daripada sebulan Datuk Adnan Abu Hassan menghubungi saya dan merancang sesuatu. Maka terhasillah lagu pertama Bunga-Bunga Cinta sebelum menerbitkan album penuh tahun berikutnya.” Tambah Misha lagi produser hebat itulah yang memberi nama Misha Omar sebagai penjenamaan yang kuat sehingga hari ini.

Selepas Aksara, Misha mengambil masa untuk mengeluarkan album penuh. Strategi mengeluarkan single demi single diatur Sony Music sebelum album ketiga menyusul pada tahun 2008 – jarak empat tahun selepas album keduanya di pasaran. “Saya akui semakin lama berada dalam bidang ini membuat saya lebih selektif. Tentang masa, naskah yang betul dan kesesuaian. Saya ingin bekerja dalam keadaan seratus peratus sedia. Kalau dulu kalau sakit pun kena masuk studio dan hal-hal sebegini sebetulnya sedikit sebanyak mengganggu kualiti persembahan.” Jadi setelah hampir lapan tahun tanpa album studio adakah Misha sudah sedia sekarang? “Ya saya memang sudah cukup sedia. Saya fikir ini masa yang tepat untuk kembali sepenuhnya. Single pertama album keempat ini bakal menampilkan duet bersama Hafiz berjudul Terimaku Seadanya hasil ciptaan Ajai.”

Tambah Misha album ini masih lagi mengekalkan konsep sama seperti apa yang peminat sudah kenal dan tahu tetapi lengkap sebagai sebuah album dengan persembahan muzik yang cukup matang. “Album ini refleksi kepada kematangan saya secara total. Baik dalam muzik mahupun  peribadi diri. Masih kental elemen Pop tetapi saya selitkan elemen fusion yang memberi nafas sedikit berbeza. Sebagai permulaan saya harap trak Terimaku Seadanya ini mampu menarik kembali perhatian pendengar muzik lokal terhadap Misha Omar.”

Di mana letaknya kepuasan Misha sebagai seorang penyanyi? Soal saya padanya. “Sejujurnya memenangi hati orang untuk suka pada apa yang kita buat dan yakinkan mereka yang kita punya sesuatu adalah perkara paling sukar. Jadi bila ada orang nampak kebolehan yang saya ada itu sudah cukup buat saya gembira. Dan bila dapat peluang merangkul trofi majlis anugerah berprestij hal ini menawarkan pengalaman berbeza. Selepas kemenangan di Anugerah Juara Lagu untuk lagu Bunga-Bunga Cinta saya sebenarnya risau dan berfikir – hari ini aku menang tapi sampai bila aku boleh bertahan? Persoalan yang begini datang tetapi Alhamdulillah dengan perancangan dan jalan yang disusun saya masih diterima sehingga hari ini untuk berkongsi lebih lagi cerita, pengalaman dan kebolehan yang ada.”  

#ShowLimaBelasSaat nya di Instagram akan sentiasa saya nanti. Sebagai teman halwa telinga sebelum tidur dan pengubat rindu peminat yang sentiasa mahukan suaranya terus dilantun dengan lunak dan merdunya. Misha Omar sudah kukuh berdiri sendiri tanpa perlu dibayangi mana-mana figura yang ada. Sejarah akan terus diukir dengan cara dan gayanya yang tersendiri tanpa akan ada yang mampu mempertikai hebat dan matangnya dia dalam menjalani hidup sebagai anak seni.

DISKOGRAFI

Misha (2002)
Aksara (2004)
Misha Omar (2008)


L I Z A . H A N I M 


Maaf jika saya bias. Liza Hanim adalah favorite vocalist saya melebihi mana-mana pun penyanyi yang pernah dicipta di Malaysia. Dia punya feel, clarity dan projection hebat dalam penyampaian yang tiada tandingan. Saya akan sentiasa terbuai mendengar dendangannya dalam mana-mana trak sekalipun. Gelisah Mimpi, Andainya Aku Bersuara, Ku Idamkan Rindu, Merawat Luka Terpendam, Getaran Cinta Di Jiwa sehinggalah magis yang dicipta ketika di pentas P.Ramlee The Musical sebagai Saloma. You are the best Saloma. Saya boleh tonton anda pada bila-bila masa di YouTube. Kata saya padanya. “P.Ramlee The Musical merupakan satu fasa yang memberi impak berbeza sepanjang karier saya sebagai penghibur. Saya tak pernah bayangkan untuk terlibat dalam produksi teater muzikal sebesar itu tapi Alhamdulillah peluang itu datang pada masa yang betul di saat saya memerlukan sesuatu yang baru untuk dicuba.”

Sama seperti Dayang Nurfaizah bakat ini dicungkil daripada pertandingan nyanyian  Golden Teen Search. Biar gagal mendapat tempat teratas rezekinya sebagai penyanyi masih terbuka dengan peluang yang juga datang daripada Datuk Adnan Abu Hassan dan terlahirlah debut Epilog yang menampilkan produser hebat seperti Azmeer, LY dan Adnan sendiri. Ketika Getaran Cinta Di Jiwa memanjat carta radio, Liza harus siap bersaing dengan Siti Nurhaliza yang ketika itu mencipta fenomenanya sendiri. Biar begitu kehadirannya tidak langsung sepi – satu per satu album diterbitkan Suria Records sehingga yang terakhir Ku Teruskan pada tahun 2003 sebelum memutuskan untuk bergerak sendiri.

Selepas album Imagin dan P.Ramlee The Musical, kelibatnya dalam industri muzik semakin menjauh. Soal saya padanya adakah kerana fokus hidup sudah berubah atau sudah tiada lagi tawaran yang menarik perhatiannya. “Ketika album Imagin diterbitkan saya baru menubuhkan syarikat sendiri yang fokusnya lebih kepada pengurusan majlis dan pengiklanan.  Slowly somehow I got immerse in this business yang membuatkan fokus saya beralih seketika. Biarpun begitu saya rasa peralihan ini sesuatu yang sangat baik kerana saya bermula sebagai front liner dan kurang arif tentang kerja belakang tabir. Jadi bila sudah berada di posisi berbeza saya belajar lebih banyak perkara tentang selok-belok produksi.” Tambah Liza lagi “Selain fokus kerjaya berubah saya juga tidak mahu lepas peluang melihat anak-anak membesar. Satu hal harus dilepaskan demi menjaga satu lagi perihal yang harus diutamakan terlebih dahulu. Bukan berhenti terus dari menyanyi tetapi berehat seketika dalam kitaran hidup yang berubah.”

Tahun lalu dia kembali dengan single Egoismu untuk drama siri Maaf Jika Aku Tak Sempurna. Menjadi bukti vokalnya masih antara yang terbaik dia dicalonkan dalam kategori Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik tahun lalu. Bakat seperti ini tidak datang selalu jika datangnya pada masa yang salah dan tidak beriring tuah maka sekejap sahajalah datang menyinggah. Namun saya pasti biar sepuluh atau dua puluh tahun mendatang sekali pun nama Liza Hanim pasti akan kita ingat, kita sebut dan rindu bila disoal siapa penyanyi terbaik yang pernah kita ada sama seperti Dayang, Ella dan Misha. Soalan akhir saya padanya – apakah momen terbaik  sepanjang kariernya? “The beginning of the journey is magical but Saloma is the best era of my journey. The feeling is out of this world.” Biar kita kunci ingatan itu di situ dahulu sebelum dia mencipta lebih lagi magis selepas bayi keempat yang dikandung ini melihat bumi. Dan semoga selepas itu impian menerbitkan album sepenuhnya bersama iringan lengkap orkestra mampu mengubat rindu yang datang bertamu.

DISKOGRAFI

Epilog (1997)
Di Manakan Ku Cari Ganti (1998)
Puteri Jelmaan (1999)
Istimewa (1999)
Isyarat Jiwa (2001)
Ku Teruskan (2003)
Imagin (2007)

*Artikel ini pernah diterbitkan di majalah EH! Isu Mei 2015 oleh Hafizan Mohd.