Friday, October 23, 2015

KERJA UNTUK APA?


KERJA UNTUK APA?
Makan gaji itu memeritkan, tidak dihargai itu lebih menyakitkan.

Ramadan lalu video seorang gadis bernama Zahra berjudul #sayaZAHRA #sayasayangkanMALAYSIA menjadi viral. Bagi sesetengah orang apa yang diluahkan Zahra hanyalah perasaan kurang puas hatinya terhadap realiti hidup hari ini. Bermacam-macam tuduhan menemplak individu ini yang hanya menyuarakan pendapatnya. Namun setelah menonton sendiri video ini saya kira Zahra seorang anak muda yang cukup berani – dia menyuarakan apa yang dia rasa di platform yang betul bukan di laman media sosial dengan kata-kata tidak berasas. Zahra di hadapan Timbalan Perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan yakin, percaya dan berani bersuara dalam satu sidang Laporan Sosio-ekonomi Melayu: Menuju Negara Berpendapatan Tinggi yang berlangsung Julai lalu.

Isunya tentang survival – kelangsungan meneruskan kehidupan dalam dunia yang cukup kompetitif dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Namun pilihan apa yang kita punya? Selain terus bekerja dan melakukan kerja-kerja sampingan di luar. Bak kata Zahra dalam ucapannya “Saya sentiasa mencari peluang menambah pendapatan namun ia bukan mudah jika kita terikat dengan pekerjaan tetap.” Hidup ini semakin hari semakin memenatkan hanya untuk memastikan kelangsungan hidup diteruskan. Bekerja siang dan malam malah di hari minggu demi satu kehidupan yang selesa.

Cerita Zahra ini sepatutnya menjadi diberi perhatian banyak pihak bertanggungjawab bukan sindiran.  Saya pelik bila pernyataan Zahra disalah ertikan oleh sesetengah individu yang tidak faham erti ‘perumpamaan’ atau ‘perlambangan’. Benar, sesetangah ayat dalam ucapannya berbunyi melebih-lebih tetapi itu hanyalah perumpamaan melambangkan perasaannya hidup sebagai anak muda di kota metropolitan ini. Realiti hidup makin memeritkan dengan gaji yang hanya sekadar cukup untuk membayar kereta, bil telefon, sewa rumah, bil selenggara, insurans dan wang buat kedua ibu bapa. Selebihnya hanya cukup untuk makan dan membeli barang penjagaan diri setiap bulan. Jika mahu shopping, punca pendapatan yang lain harus dicari.

DILEMA PEKERJA
Ridhwan Saidi dalam jurnal tulisannya Brazil menulis “Rasa gembira dan heroik pada awalnya telah bertukar kepada sedih dan malang, seperti kita telah bersekutu dengan penjenayah, dengan penculik.” Dia bercerita tentang kekecewaan. Satu metafora tentang kehidupan seharian kita penuh dengan warna dan corak yang menghibakan – seperti dipergunakan dan tiada lagi penghargaan. Saya bercakap tentang kerja, berapa ramai antara kita yang benar-benar gembira dengan idea 9 pagi 6 petang dalam mencari rezeki meneruskan kelangsungan hidup? Jika punya pilihan lain adakah kita akan setia bekerja dengan satu majikan dan berbaloikah kita untuk setia?

Dalam satu laporan Forbes Online, artikel bertajuk Employees Who Stay In Companies Longer Than Two Years get Paid 50% Less menyatakan dilema yang dilalui kebanyakan pekerja yang kekal di satu-satu syarikat lebih daripada dua tahun. Dalam artikel tulisan Cameron Kong ini mendapati persoalan mengapa majikan sanggup membayar individu luar dengan gaji yang lebih tetapi berkira dengan pekerja mereka yang setia dan penuh dedikasi.

Kong mempersoalkan tentang budaya kerja – jika anda mahukan gaji lebih besar anda harus bertukar ke tempat kerja berbeza yang mampu menawarkan apa yang anda mahu kerana jika anda setia sampai bila pun gaji anda tidak akan akan mendapat gaji yang anda idamkan. Mengapa hal ini terjadi dan sampai bila ia harus berlarutan? Kong menambah majikan akan mengelak daripada mengambil mereka yang kerap bertukar kerja kerana gusar mereka tidak akan setia berkhidmat namun adakah anda memberi keadilan buat pekerja anda yang setia? Hal-hal beginilah membuatkan ramai pekerja melompat kerja dari satu institusi ke institusi berbeza kerana kurangnya penghargaan daripada majikan. Jadi wahai majikan, why take things for granted ?  Mengapa tidak dihargai pekerja yang selama ini berkhidmat membantu syarikat anda berjaya dan mendapat nama, staus dan keuntungan?

Artikel tulisan di laman web TalentCulture berjudul 5 Reason Why Your Employee Leave – menulis tentang beberapa kesilapan yang sering dilakukan oleh majikan tetapi dipandang sebelah mata. Antara isi artikel ini adalah pangkat dan kenaikan gaji. Laman web ini mempersoalkan mengapa peluang lebih baik datang dari insitusi luar tetapi bukan institusi yang anda bekerja hari ini? Dan mengapa majikan semudahnya mengambil individu luar yang kurang arif tentang cara kerja juga kurang pengalaman dengan menawarkan gaji yang lebih besar. Bagaimana pula nasib mereka yang ada di dalam institusi ini? Adakah mereka harus mencari peluang lain di luar demi membuktikan bahawa mereka layak menerima apa yang ditawarkan majikan terhadap orang luar?

Dalam satu survey yang dilakukan CareerBuilder.Com terhadap hampir tiga ribu pekerja pada tahun lalu menemukan beberapa alasan utama mengapa mereka memilih untuk berpindah tempat kerja. Satu konklusi dapat dibuat daripada survey ini yang nyata menunjukkan mereka berhenti bukanlah hanya kerana gaji atau pangkat semata-mata.

45%
Menyatakan mereka tidak berpuas hati dengan kenaikan gaji dan peluang baru yang semakin kabur.

39%
Tidak menemukan keseimbangan dalam hidup dek kerana terlalu terikat dengan tugasan.

37%
Pendapat dan idea mereka tidak lagi dihiraukan dan bos terus menerus meminta hal yang semakin tidak masuk akal.

36%
Menyatakan mereka kecewa kerana tidak dipandang serius oleh majikan dan seperti tidak mempunyai kepentingan buat syarikat.  

Pekerja berhenti datang silih berganti itu mungkin perihal biasa tetapi jika pekerja itu sudah terlalu lama menabur bakti dan dedikasi kerja tanpan komplen memutuskan untuk pergi pasti ada yang tak kena. Persoalan ini membawa saya kepada artikel majalah bisnes Fast Company yang berjudul How You Can Get Your Best Employee To Stay? Tulisan Stephannie Vozza. Dan dalam artikel ini Vozza menyenaraikan beberapa perkara yang membuatkan pekerja semakin hilang minat bekerja:

1.       TIADA PENGALAMAN BARU
Sebagai majikan anda perlu peka dengan kebolehan pekerja dan membuka peluang baru yang sama adil. Bila seseorang itu diberi peluang baru yang berbaloi usaha mereka secara tidak langsung mereka akan setia dan sentiasa melakukan kerja dengan sepenuh hati.

2.       KEBAJIKAN
Peka dengan tanggungjawab anda sebagai majikan terhadap pekerja. Majikan harus lebih terbuka untuk mendengar pendapat semua, tidak hanya orang atasan semata. Jangan memandang ringan isu ini kerana jika anda kurang peka tiada siapa lagi yang jujur mahu bekerja.

3.       TIDAK BERBALOI
Dalam melaksanakan setiap tugasan yang diberi harus dibayar dengan harga dan keringat yang setimpal. Bila enough is never enough, maka yang terjadi adalah rasa beban yang memenatkan harus ditanggung pekerja. Sebagai majikan usah meminta yang melebih-lebih jika anda tidak mampu memberi apa yang sepatutnya pekerja anda dapat.

MESEJ BUAT MAJIKAN
Apa yang terjadi dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines System Bhd (MAS) beberapa bulan lalu merupakan satu hal cukup mengejutkan. Bayangkan 6000 pekerja harus dibuang status pekerjaan mereka hanya kerana tragedi luar duga. Persoalan saya, adakah kita selamat untuk setia? Tiada jaminan untuk hal tersebut. Majikan punya hak untuk memutuskan mengambil anda bekerja di tempat mereka dan mereka juga punya hak untuk mengetepikan anda jika anda tidak lagi menyumbang buat syarikat.

Namun itu bukanlah alasan untuk majikan mengetepikan hak asasi seorang pekerja. Ingat tanpa pekerja yang bersungguh-sungguh meletakkan standard kualiti kerja yang bagus pada setiap tugasan sesebuah syarikat tidak akan berjaya mengukuhkan statusnya. Asas harus kuat dalam membangunkan sesebuah institusi kerana tanpa asas yang kuat maka goyanglah institusi yang telah dibina. Akhiran ini saya banyak menghabiskan masa di aplikasi LinkedIn – satu saluran media sosial yang memberi fokus terhadap kerjaya individu. Di sini saya menemukan beberapa posting tentang kerjaya yang harus dijadikan bahan fikir.

Dalam satu posting yang dikongsi di aplikasi ini membawa saya kepada satu artikel bagaimana anda sebagai majikan harus menghargai pekerja yang setia, jujur dan tidak pernah mengalah untuk memberi yang terbaik buat anda. Posting berbentuk info grafik yang bertajuk Employees Stay When They Are… itu menyatakan sepuluh alasan utama untuk seseorang pekerja yang berpotensi besar itu setia bersama satu institusi. Bahan fikir serta mesej penting buat semua majikan.

1.       Bayaran setimpal
2.       Dilatih
3.       Diberi cabaran baru dalam kerja
4.       Dinaikkan pangkat
5.       Pendapat didengar dan dianalisa
6.       Dedikasi kerja dihargai
7.       Keberadaan mereka dirasai
8.       Seiring dalam mencapai visi
9.       Diberi kepercayaan untuk melaksanakan setiap tugasan
10.   Yakin dengan kebolehan yang pekerja anda ada