Tuesday, July 12, 2016

Susah Saya Seorang Lelaki

Bront Palarae, Maskulin (2011)
 Saya tidak pandai meminta, apa lagi memujuk dan membodek. Semua yang saya lakukan selama hampir enam tahun ini saya kira cukup jadi bukti untuk saya diletakkan di tempat yang sepatutnya. Tapi saya salah, nilai budayanya berbeza dengan apa yang saya bayangkan. Kerja yang bagus sahaja tidak membuktikan apa-apa untuk saya dinaikkan di tempat lebih tinggi. Bukanlah keinginan saya untuk sentiasa dipuji apatah lagi untuk dijulang tetapi cukuplah dengan segala apa yang saya buktikan itu jadi penanda aras di mana saya patut berada.

Namun menjadi saya adalah kerugian. Tidak saya pandai berbicara, bermanis mulut menjanjikan intan permata (biar akhirnya tidak melakukan apa-apa). Saya hanya melakukan semuanya atas nama minat dan laksanakan semuanya dengan penuh kejujuran namun tiada nilai untuk satu ketulusan dalam bidang ini. Bermacam sudah saya cuba buktikan. Mengumpulkan Sofia Jane, Vanidah Imran, Sharifah Amani dan Nadiya Nisaa dalam satu penggambaran. Menyatukan 15 lelaki dalam satu sidang editorial, mengumpul lima sasterawan muda bervisi dan lainnya.

Ya, sumbangan ini mungkin kecil sahaja atau mungkin tiada nilainya bagi mata yang memandang kasar, tapi tahukah betapa sukarnya untuk melaksanakan semua ini? Meyakinkan Sofia Jane untuk penggambaran ini bukan satu hal yang mudah. Bertalu-talu panggilan saya kirimkan, kiriman SMS apatah lagi, hanya untuk dia berkata YA untuk penggambaran ini. Tapi tak semua tahu atau lebih tepat tak semua peduli untuk tahu. Jenuh saya berfikir, jauh saya melayang - akhirnya saya hanya temui satu jalan kekecewaan.

 
Sofia Jane & Sharifah Amani, EH!
Saya menulis kerana Saniboey Mohd Ismai. Dialah alasan saya belajar menulis review album. Dia juga yang mengajar saya untuk menjadi manusia yang jujur setiap kali menulis - yang bagus itu bagus dan yang buruk itu buruk. Selepas itu saya tanam dalam diri "Satu hari nanti aku harus jadi penulis."

Dan Alhamdulillah setelah segala jenis kesukaran meyakinkan orang-orang majalah betapa saya ini punya nilai yang tinggi untuk digunakan, dua kali ke pejabat yang sama untuk temuduga dan gagal kedua-duanya, peluang dibuka oleh insan yang amat saya berterima kasih sehingga hari ini. Puan Wan Mahani Wan Hassan, mantan Editor majalah lelaki bahasa Melayu pertama tempatan, Maskulin.

Setelah saya diterima saya masih ingat Kak Wan (Panggilan mesra buatnya) bercerita pada saya. "Diorang pertikai kenapa akak nak sangat amek ko dik. Tapi akak berkeras juga, akak cakap akak nak jugak budak ni." Kenapa Kak Wan? Soal saya yang tiada jawapannya sehingga hari ini. 

Dan di situ bermulalah pelajaran formal saya sebagai penulis. Artikel pertama saya dibaca dan Kak Wan menegur beberapa perkara dan membetulkan dengan alasan dan sebab mengapa. Bukan sekadar menyatakan kesalahan tanpa sebab dan alasan.

Namun jodoh kerja saya dengan Kak Wan tak panjang, dia memutuskan untuk berhenti dan menulis skrip sepenuh masa. "Dah masanya akak duduk rumah dik." Katanya pada kami (team) ketika itu. Saya sedih tapi saya bangga kerana saya diambil kerja oleh seorang penulis yan cukup berpengalaman serba-serbi dalam penulisan dan bahasa yang bagus.

Selepas editor baru mengambil alih, saya bertahan sahajalah menulis di situ, mengatur advertorial, berjumpa klien Kamdar setiap bulan dan tuhan sahaja tahu susahnya untuk mencari yang molek dari koleksi Kamdar. Tapi dek kerana tanggungjawab kerja saya lakukan sebaiknya dan apa yang saya mampu lakukan.

EH! 20 Yang Anggun shoot 2011

JOB STREET, LINA DAN BLU INC
Saban hari saya di Karangkraf menerima utusan Lina di GMail saya. Sehingga satu hari saya melihat Blu Inc mencari penulis untuk penerbitan bahasa Melayu. Bisik hati saya, "Aku harus cuba sekali lagi." (Biarpun sudah dua kali temu duga GAGAL)

Kenapa saya berhenti Karangkraf? Kerana saya mahu tangga gaji yang lebih tinggi dan pada ketika itu fikir saya andai kata saya ke Blu Inc bukan untuk membuat majalah yang saya dambakan itu, mungkin setahun dua selepas itu saya bolehlah cuba 'meminta' - Namun seperti yang saya tulis di awal tadi, saya tidak pandai meminta-minta. Saya lakukan sahaja.

Alhamdulillah, perjalanan ke tiga ke pejabat biru itu diterima. Panggilan keramat dari Rosmin Darus (Sub-Editor yang cukup tajam matanya) memahatkan ikrar jodoh saya dan Blu Inc untuk EH! Persoalan mula menyinggah. Boleh ke aku tulis majalah perempuan? Ahh... pedulikan. Yang penting cuba dahulu.

Di hari temu duga, saya ingat hanya saya seorang. Nyata tidak. Ada gadis bernama Nisa bersama saya dan selepas berbual mesra dengannya, hati saya berdetik - lupakan sajalah, tiada rezeki lagi kau kat sini. Kerana Pengalaman Nisa menulis InTrend dan Cosmopolitan begitu besar berbanding saya yang ketika itu hanya setahun setengah sahaja bersama Maskulin. Tapi ujian menulis yang diberikan saya lakukan jua dengan sepenuh hati. Bukan apa, andai kata tiada jodoh saya bersama Blu Inc lagi, inilah ikhtiar saya yang terakhir.

Dan selepas 2 minggu panggilan saya terima dari pihak HR saya terima, maka bertemulah saya empat mata dengan Kak Aida, Amir dan Kak Bib. Berbincang gaji, nature of work dan apa yang patut juga tidak saya lakukan.

Maka September 2011 (Bulan Syawal ketika itu) saya memulakan lembaran baru  sebagai penulis di meja EH! sebagai penulis Gaya Hidup. Bertemu saya dengan Bidin, Yana dan Izzati. Itulah 3 insan cukup muda, penuh semangat dan tidak pernah berkira kerja walau sedikit pun. Sebelum menyusul Izni yang menambah seronok dan Anis, gadis intern yang diserap masuk sebagai penulis projek khas.

Kami berlima di bawah pemerhatian Kak Aida dan Kak Min - dua wanita paling mulia hatinya, paling bernas nasihatnya dan ya, sekali lagi saya ulang paling tajam matanya. Silap ditegur dengan hemah, dibetul dengan bercara dan maka dengan itu masuklah segala ilmu di dada.

Di sini jugalah peluang saya kembara melihat dunia orang bermula. Dari Macau saya ke Hong Kong, Bangkok, Jakarta, Tokyo, Chiang Rai, Chiang Mai, Krabi, tiga musim setahun di Seoul sampailah ke concrete jungle, kota metro New York. Ah... ada ke pekerjaan seseronok ini di dunia? Ya, ada di meja editorial EH! Dan saya amat berterima kasih pada Bidin yang seadilnya memberi peluang sama rata untuk semua anak buahnya merasa terbang kembara ke sana sini.


Jadi mengapa saya berhenti?


Tidak, saya bukan berhenti kerana Izza Syafinaz. Bila orang tanya saya mengiyakan sahaja (saya memang jenis tak suka explain, jadi apa yang anda rasa betul maka betullah namun realitinya cukup saya dan beberapa orang lain sahaja yang perlu tahu)

Saya berhenti kerana saya tidak nampak saya mampu pergi jauh dalam 'dunia' ini. Dunia di mana anda perlu bermulut manis, menggesel peha dan bercium bontot dengan orang-orang di atas. Pernah ada suara berbisik pada saya "You pergilah rapat-rapat dengan dia, senang nak naik nanti" Saya balas "No, thanks" sebab apa? Sebab saya ingat cukup dengan kerja keras, tak langgar deadline dan jadi independen menjadi bukti saya pekerja yang bagus dan boleh diangkat.

Malangnya saya silap.

Bila saya sudah melihat permainannya harus begitu, tuhan saja tahu betapa kecewanya saya. Semakin hari semakin jelas depan mata - yang tidak buat kerja atau tidak tahu buat kerja TAPI tahu "mengambil hati" menang besar dalam game ini. Saya tanyakan pada diri saya, sanggupkah saya? Belum sempat saya berfikir apa-apa - jawapan TIDAK sudah cukup jelas.

Saya menulis posting ini kerana  kecewa dengan diri sendiri bukan sesiapa pun. Saya selalu berkata pada diri, apa pun yang jadi dalam hidup yang salah adalah diri saya sendiri dan bukan orang lain kerana keputusan adalah pilihan diri sendiri. Sekuat mana pengaruh luar mahu membisik menghasut, jika saya kata tidak maka tidaklah. Namun saya memilih ya dan saya tanggung akibatnya.

HARI INI
Saya tidak lagi bersama STAIL.MY

Usah ditanya, doakan saja agar jalan yang saya pilih selepas ini lebih baik untuk masa depan saya dan lebih baik untuk jiwa saya. SELAMAT TINGGAL DUNIA PENULISAN, andai kata jodoh kita ada lagi janganlah buat saya begini, saya jujur dalam bekerja jadi berilah saya apa yang selayaknya dengan usaha yang saya tabur. Terima kasih saya untuk kak aida, kak min, bidin, yana, izzati, izni, anis dan muz kerana menjadikan semuanya indah semuanya mudah.

Oh, saya juga sempat menang dua anugerah editorial MPA Magazine Awards.

Apa nilainya?
Kecewa.

Salam,
Hafizan Mohd
13 Julai 2016
0014 AM